Iffat Hamani dan Afeef Adwan bersahabat sejak di bangku sekolah. Namun, persahabatan yang terjalin disalah guna oleh Afeef apabila menggunakan Iffat sebagai batu loncatan untuk mencapai impian yang sudah lama dirancang.
Iffat yang dalam diam menaruh perasaan terhadap Afeef, menerima lamaran Afeef dengan harapan mereka punya peluang untuk hidup bahagia atas janji yang ditabur oleh Afeef sebaik sahaja lelaki itu pulang semula ke tanah air. Namun, dua tahun yang dijanjikan akhirnya berlanjutan hingga tiga tahun. Lelaki itu mendiamkan diri tanpa sebarang berita. Tetapi Iffat masih berpegang pada janji dan sanggup menunggu lelaki itu walaupun hati sendiri terluka.
Selepas tiga tahun tanpa khabar berita, Afeef muncul kembali bersama si comel. Kebenaran terbongkar apabila si comel itu merupakan anak Afeef bersama Damia. Mereka berkahwin atas nama cinta. Namun, hubungan itu tidak berpanjangan apabila Damia curang hanya kerana tidak sanggup memikul tanggungjawab yang ada.
Afeef kembali dengan harapan baru dan ingin menunaikan segala janjinya dahulu kepada Iffat.
Iffat yang benar-benar terluka atas apa yang dilakukan tidak mampu berbuat apa. Kehadiran si comel diterima dengan hati yang terbuka kerana sememangnya naluri keibuannya begitu menggebu dan sudah menjadi impiannya sebaik sahaja bergelar isteri. Tetapi kesalahan yang dilakukan oleh Afeef membuatkan dia ragu-ragu untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya. Dia tidak bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai seorang isteri kerana Afeef telah mengkhianati kepercayaannya selama ini.
Rafaal yang sudah lama menaruh perasaan terhadap Iffat hanya mampu memendam perasaan. Harapannya untuk memiliki Iffat kembali terkubur dengan kehadiran Afeef. Dia tahu hati wanita itu hanya untuk Afeef. Afeef tetap berusaha untuk meraih kembali kepercayaan Iffat. Kesanggupan Iffat yang menunggunya hingga hampir empat tahun sudah cukup memberi petanda yang wanita itu mencintainya sepenuh hati.
Iffat yang sememangnya menyimpan rasa kasih buat Afeef reda menerima lelaki itu kembali sungguhpun luka di hatinya masih belum sembuh. Sekali lagi janji terpateri. Namun, kasih yang baru sahaja berputik, diduga dengan kehadiran Damia yang ingin kembali meraih cinta Afeef. Dalam masa yang sama pula, Afeef mengesyaki Iffat punya hubungan kasih dengan orang lain kerana cemburu. Sekali lagi Iffat terpaksa menanggung duka. Dituduh tanpa usul periksa membuatkan hatinya kembali terluka.
“Di mana janji kerana hati, andai ada hati yang disakiti?”
0 Response to "Promo: Biar Aku Jadi Penunggu: Arsha"
Post a Comment