Showing posts with label Suri Ryana. Show all posts
Showing posts with label Suri Ryana. Show all posts

Promo: Playboy itu suami aku: suri ryana

Sinopsis:-
“Kurang asam betul! Dahlah simbah aku dengan air lopak, tak mintak maaf langsung! Blah macam tu aje”

Itulah permulaan segala-galanya. Kehidupan Afina tidak pernah aman semenjak mengenali playboy itu. Seorang playboy yang kerap kali membuatkan dia panas hati. Raja Adrian Benjamin atau nama ‘manja’ yang diberikan oleh Afina, King of Crocodile memang menguji tahap kesabaran seorang gadis nerd yang tidak mempunyai penampilan menarik seperti Afina.

Pertemuan Afina dengan Puan Sri Zahida, ibu kepada Raja Adrian semasa menolong rakannya menggubah bunga di majlis hari jadi cucu Puan Sri benar-benar melontarkan gadis ini ke lembah yang lebih mencabar. Sikap Puan Sri yang nekad untuk bermenantukannya membuatkan gadis itu buntu. Tambahan pula dia sedar yang adik kembarnya, Afisya adalah salah seorang teman wanita Raja Adrian Benjamin.

Afina dan Adrian, mulanya membantah dan menolak habis-habisan untuk disatukan. Akhirnya mereka bersetuju kerana masing-masing punya agenda tersendiri.

Afina terlibat dalam kemalangan dan tersedar dari koma sebagai penghidap amnesia. Lebih malang lagi apabila dia tidak langsung mengenali Adrian, suaminya sendiri. Terkejut besar gadis itu apabila mengetahui yang dia sudah berkahwin! Dengan seorang playboy pulak tu!

Bagi Adrian, Afina sekarang berbeza dengan Afina yang dulu. Afina telah berubah menjadi seorang yang lebih kasar dan tidak lagi mudah untuk dibuli seperti dahulu. Mereka kerap kali bertegang urat dan saling membuli hingga memutikkan bunga-bunga cinta di taman hati masing-masing.

Tapi, di saat mereka asyik menyulam cinta, Afina harus meninggalkan lelaki itu dan pergi jauh dari hidup Adrian. Apakah yang memaksa gadis itu meninggalkan lelaki yang dicintainya separuh mati itu? Adrian pula, setelah ditinggalkan buat kali kedua dalam hidupnya, dapatkah dia memaafkan wanita yang dicintainya?

“Playboy itu suami aku?! Biar betul!”

Promo: Isteri Separuh Masa: Suri Ryana

Bagi Nazrin Shah, Medina Izwanilah punca mama dan papanya tidak menerima kekasihnya, Zita sebagai menantu. Dia seterusnya mengisytiharkan ‘perang’ dengan adik angkatnya itu. Mereka ibarat Israel dan Palestin, tidak pernah berdamai walaupun bertahun sudah berlalu. Hubungan mereka menjadi semakin rumit apabila nenek berkeras ingin menjodohkan mereka berdua sebelum Nazrin Shah menyambung pelajarannya di luar negara.

Dapatkah anjing dan kucing hidup bersama? Bagaimana pula dengan pelajaran? Dapatkah Medina Izwani membahagikan tugas sebagai seorang pelajar dan seorang isteri dengan sebaiknya? Impiannya untuk menyambung pelajaran bersama Megat Shazril ke Ireland terpaksa dilupakan demi menyempurnakan hasrat nenek.

Sepanjang berada di luar negara, Nazrin Shah tidak pernah mengambil tahu mengenai Medina Izwani. Rasa benci terhadap gadis itu tidak juga surut-surut. Dia hanya berpurapura melayan Medina Izwani dengan baik di hadapan keluarganya sahaja. Berlainan pula halnya dengan Medina Izwani. Sudah puas dia menghambat rasa cinta buat suaminya itu, tetapi masih juga gagal.

Bertahun berlalu dan kini Medina Izwani bergelar seorang mahasiswi. Hidupnya menjadi huru-hara apabila Nazrin Shah mengambil alih kelas tutorial untuk salah satu subjek yang diambilnya. Hati pula semakin tidak menentu apabila terpaksa tinggal sebumbung dengan lelaki itu garagara nenek yang ingin menetap bersama mereka.

Apakah penghujungnya kisah mereka nanti?

Demi cinta yang dianugerahkan Allah, Medina Izwani rela menjadi isteri kepada lelaki itu, walaupun hanya isteri separuh masa... walaupun hanya dilayan sebagai isteri di hadapan ahli keluarganya sahaja.

Tetapi, sampai bila dia dapat bertahan dengan sikap Nazrin Shah yang langsung tidak menghargainya? Adakah dia akan berpaling dan menyahut salam perkenalan daripada Zafril?

Kehadiran bunga-bunga orkid misteri berserta kad mengingatkannya kepada Megat Shazril. Medina Izwani semakin bercelaru. Teringat kembali janji lelaki itu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memilikinya. Apakah ada ruang dan peluang untuk Medina Izwani dan Nazrin Shah menyulam cinta dan hidup bahagia hingga akhirnya?