Promo: Dia Yang Kucari : Cempaka Qistina

Pertemuan Dania dan Haiqal bermula di sebuah kelab malam yang terkenal di ibu kota. Dania seorang gadis lincah sering menghabiskan masanya di kelab malam. Manakala bagi Haiqal pula kelab malam ini adalah tempat untuknya berhibur. Sikap Dania yang tidak mengendahkan Haiqal benar-benar membuatkan Haiqal tercabar. Dalam diam dan tanpa sedar Haiqal sudah jatuh hati kepada Dania. Haiqal bertekad untuk menundukkan Dania.




Dania yang merupakan anak tunggal kurang mendapat kasih sayang daripada keluarga. Menghabiskan masa di kelab malam merupakan cara untuk membuang rasa bosan apabila dirinya sering ditinggalkan oleh papa dan mamanya yang sentiasa sibuk bekerja. Pertemuan kedua Dania dengan Haiqal terus disambar oleh Haiqal apabila dia mendapat tahu hubungan Zack dan Dania bermasalah hingga masing-masing terlanjur. Dania sekeluarga kemudiannya berpindah ke London tanpa pengetahuan sesiapa pun. Haiqal yang menyesali tindakannya, cuba mencari Dania tetapi gagal.



Lima tahu berlalu. Atas urusan kerja Haiqal berkenalan dengan Maisara, seorang gadis yang sopan bertudung. Maisara berbeza dengan gadis-gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini. Sedikit sebanyak kehadiran Maisara telah menarik perhatian Haiqal. Dalam masa yang sama Haiqal sering berpelesiran dengan Linda. Bagi Haiqal hubungannya dengan Linda sekadar suka-suka, tetapi tidak pula bagi Linda. Dengan penuh harapan Linda benar-benar mengharapkan yang Haiqal akan menyukai dirinya.



Akhirnya, Haiqal mengetahui Maisara adalah Dania yang dikenalinya lima tahun lalu. Pada hari pertunangan Emir iaitu rakan baik Haiqal, Haiqal dikejutkan dengan berita Maisara adalah tunang rakan baiknya itu. Maisara adalah sepupu kepada Emir. Emir memang mencintai Maisara sejak kecil dan ikhlas menerima Maisara seadanya. Maisara tidak menyangka yang Emir berkawan rapat dengan Haiqal, lelaki yang punya kisah silam bersama dirinya suatu ketika dahulu. Tidak sanggup mahu mengkhianati rakannya sendiri, Haiqal mengkhabarkan rasa hatinya kepada Maisara, tetapi sayang Maisara tidak mempunyai rasa yang serupa.



Akhirnya terbuka juga pintu hati Haiqal untuk berubah. Sebelum ini Emir banyak menasihati Haiqal tetapi Haiqal beralasan yang dirinya masih belum bersedia. Haiqal perlahan-lahan berubah dan menjadi lelaki yang lebih baik.



Suratan menentukan Haiqal kemalangan lalu koma. Maisara yang datang bersendirian ketika melawat Haiqal di hospital mengalirkan air mata apabila melihat keadaan Haiqal. Emir yang kebetulan datang ke hospital untuk melawat Haiqal hairan melihat Maisara datang bersendirian dan tidak pula mengkhabarkan kepadanya. Maisara akhirnya memberitahu Emir siapa Haiqal dalam kehidupan silamnya.



Demi kebahagiaan Haiqal dan Maisara, Emir mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Maisara.



Setelah Maisara sah menjadi isteri Haiqal dugaan datang menimpa. Maisara keguguran. Linda menabur fitnah hingga mengundang kesengsaraan Maisara.



Setelah sedar akan kesilapannya, Haiqal segera meminta kemaafan daripada Maisara. Puas Haiqal cuba meyakinkan Maisara yang dirinya tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Namun, Maisara enggan menerima kemaafan suaminya.

“Kucari dia yang jauh di mata.... rupa-rupanya dia dekat di hati....”



Promo: Biar Aku Jadi Penunggu: Arsha

Iffat Hamani dan Afeef Adwan bersahabat sejak di bangku sekolah. Namun, persahabatan yang terjalin disalah guna oleh Afeef apabila menggunakan Iffat sebagai batu loncatan untuk mencapai impian yang sudah lama dirancang.




Iffat yang dalam diam menaruh perasaan terhadap Afeef, menerima lamaran Afeef dengan harapan mereka punya peluang untuk hidup bahagia atas janji yang ditabur oleh Afeef sebaik sahaja lelaki itu pulang semula ke tanah air. Namun, dua tahun yang dijanjikan akhirnya berlanjutan hingga tiga tahun. Lelaki itu mendiamkan diri tanpa sebarang berita. Tetapi Iffat masih berpegang pada janji dan sanggup menunggu lelaki itu walaupun hati sendiri terluka.



Selepas tiga tahun tanpa khabar berita, Afeef muncul kembali bersama si comel. Kebenaran terbongkar apabila si comel itu merupakan anak Afeef bersama Damia. Mereka berkahwin atas nama cinta. Namun, hubungan itu tidak berpanjangan apabila Damia curang hanya kerana tidak sanggup memikul tanggungjawab yang ada.



Afeef kembali dengan harapan baru dan ingin menunaikan segala janjinya dahulu kepada Iffat.



Iffat yang benar-benar terluka atas apa yang dilakukan tidak mampu berbuat apa. Kehadiran si comel diterima dengan hati yang terbuka kerana sememangnya naluri keibuannya begitu menggebu dan sudah menjadi impiannya sebaik sahaja bergelar isteri. Tetapi kesalahan yang dilakukan oleh Afeef membuatkan dia ragu-ragu untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya. Dia tidak bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai seorang isteri kerana Afeef telah mengkhianati kepercayaannya selama ini.



Rafaal yang sudah lama menaruh perasaan terhadap Iffat hanya mampu memendam perasaan. Harapannya untuk memiliki Iffat kembali terkubur dengan kehadiran Afeef. Dia tahu hati wanita itu hanya untuk Afeef. Afeef tetap berusaha untuk meraih kembali kepercayaan Iffat. Kesanggupan Iffat yang menunggunya hingga hampir empat tahun sudah cukup memberi petanda yang wanita itu mencintainya sepenuh hati.



Iffat yang sememangnya menyimpan rasa kasih buat Afeef reda menerima lelaki itu kembali sungguhpun luka di hatinya masih belum sembuh. Sekali lagi janji terpateri. Namun, kasih yang baru sahaja berputik, diduga dengan kehadiran Damia yang ingin kembali meraih cinta Afeef. Dalam masa yang sama pula, Afeef mengesyaki Iffat punya hubungan kasih dengan orang lain kerana cemburu. Sekali lagi Iffat terpaksa menanggung duka. Dituduh tanpa usul periksa membuatkan hatinya kembali terluka.

“Di mana janji kerana hati, andai ada hati yang disakiti?”

Promo: Suamiku Encik Sotong: Syikin Zainal


ERICA SOFFEA melonjak kegembiraan. Mana tidaknya, dialah bakal peneraju Khaleeda Holding. Walaupun hubungannya dengan arwah nenda bu-kanlah baik sangat pun. Terasa macam hendak buat aksi akrobatik ketika namanya diumumkan. Naik senak kepala Erica bila dia terpaksa dijodohkan dengan sotong peliharaan nendanya, Farish. Dah lah tak macho, pakai baju warna pink. Kalau bercakap tangan bukan main lentik lagi macam orang nak main mak yong. Farish terpaksa menerima Erica kerana dua sebab. Pertama, sebab wasiat arwah Tengku Khaleeda. Kedua, kerana tidak tahan dengan perangai berlagak Erica. Lagipun bukan lama sangat dia perlu bergelar suami pada diva berlagak itu, tiga tahun sahaja. Dalam tempoh perkahwinan mereka jatuh cinta. Tapi... cinta itu bukan milik mereka berdua. Milik siapa ya?Peninglah, kalau dah dapat suami sotong. Bukan hanya lembut fizikaltapi lembut juga hatinya. Erica pula terpaksa terus bersama dengan Encik Sotongnya kerana cinta. Encik sotong bukan lelaki biasa, tetapi lelaki yang sanggup berkorban segala-galanya demi tidak mahu melihat Erica merana. Walaupun jiwa lelakinya menderita, tapi sampai bila?



“Amboi sedap aje mulut kau mengata kat aku. Aku pun tak ingin nak ambil perempuan macam kau ni jadi isteri aku tau. Mulut macam puaka.” - Farish



“Bukanlah Kak Ain, bukan Rica nak sembunyikan suami Rica. Tapi dia sibuk maklumlah nak jahit baju pertunangan Izhan dengan Qarina. Faham-faham ajelah golongan tengku-tengku ni bertunang pun kena buat yang grand. Baju tu kalau boleh bukan setakat labuci, lampu lip-lap tu pun kalau boleh suruh dipasang kat baju. Itu yang suami saya sakit kepala. Nak fikir macammana nak letak lampu lip-lap kat pergelangan tangan.” - Erica