Ikatan
pernikahan ini wujud kerana salah faham. Itu yang Nasira mampu bariskan
untuk menggambarkan ikatan yang telah membawa gelaran isteri kepada
dirinya. Nasira bakal tunangan Hasni. Nuqman pula bakal suami Zura.
Tetapi Hasni dan Zura curang di belakang mereka. Apabila kecurangan itu
terbongkar, dua hati terluka minta disembuhkan. Tak sampai dua jam
berkenalan dan baru saja bertukar nama, mereka telah ditangkap basah.
Ini terjadi akibat salah faham. Nyata, mereka berada di tempat yang
salah, pada waktu yang salah. Untuk menjaga nama baik kedua-dua belah
keluarga, tiga hari kemudian mereka dinikahkan.
“Kenapa awak setuju kahwin dengan saya?” Nasira bertanya dengan lembut.
“Dah jodoh I dengan you. Nak buat macam? Terima ajelah.” Nuqman membalas dengan selamba.
Mengenali
Nasira membuatkan Nuqman jatuh cinta semula. Luka di hatinya menghilang
begitu sahaja kerana takdir yang dia terima cukup indah. Tidak timbul
isu frust menonggeng kerana kecurangan Zura. Tidak sempat dia hendak
melayan blues, hatinya terisi semula.
Sejak
mengenali Nuqman, Nasira kenal erti keluarga. Sementelah dia telah
dibuang keluarga kerana kes tangkap basahnya itu. Dia tahu erti
kebebasan dan erti kebahagiaan sejak menjadi ahli keluarga Nuqman
yang menerima kehadirannya dengan tangan dan hati yang terbuka. Pertama
kali bertentang mata dengan Nuqman, dia beranggapan bahawa lelaki itu
adalah seorang yang tegas lagi garang. Rupa-rupanya lelaki itu seorang
yang menyenangkan kerana pandai menghiburkan hatinya. Semakin lama
dia mengenali lelaki itu, dia semakin tertarik dengan Nuqman.
Bak
kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, baru belajar
bercinta. Dalam belajar bercinta mereka dapati cinta sahaja tidak
mencukupi. Harus ada ‘perencahperencah’ lain. Rumah tangga mereka
dilambung ombak yang hampir menghanyutkan mereka. Nasib baik ada
yang sudi menghulurkan tali, agar mereka tidak terus hanyut dibawa
badai.
Bertitik
tolak dari situ, mereka terus belajar bagaimana bercinta, berkasih dan
hidup bersama sehingga mereka cukup kuat melalui setiap dugaan
bersama-sama.
Mereka
belajar mencari adunan yang paling tepat untuk kasih mereka. Mencari
adunan kasih hati mereka. Mencari adunan cinta mereka. Bisakah mereka
menemui resipi adunan itu? Atau adakah mereka akan terus mencari resipi
adunan hati?
“Jodoh itu pintu bahagia. Kalau kita rela menerima takdir tersebut, kita akan menemui kunci bahagia itu.”