Promo: sehiris Bulan : Hafizah Iszahanid


Hidup ini pelik, dan bahagia itu subjektif.
Sesetengah orang mentafsirkan bahagia letaknya pada cinta. Sesetengah pula bahagia itu adalah kemuncak kerjaya. Sesetengahnya pada membahagiakan keluarga.

Lili Julia, wartawan muda yang hatinya terpaut pada jejaka berjiwa seni, Adlan Huzairi. Malangnya pula lelaki itu berkongsi rasa dengan Zaira. Nota cinta Adlan Huzairi sentiasa menghujani hati Julia namun bagi Zaira, Julia itu bagai ahli sihir yang menghalang segala kehendak hatinya pada Adlan.

Hati, sebenarnya apa yang kau mahu?
Hati, sebenarnya masihkah engkau dihambat rindu?

Promo: Saat Mata Berbicara: DYZA AINUN

Jija, bersuamikan Zharul yang tidak boleh menjadi suami yang sempurna kerana serangan angin ahmar. Namun, Jija rela demi untuk merawat lelaki itu bersama bapanya seorang tukang urut di desanya. Zharul sangat berduka apabila Jija terkorban dalam kebakaran di rumahnya. Kemunculan Qhalisya, seorang gadis tomboy menggetus hati Zharul kerana terlau banyak sikap Qhalisya mengheret ingatan Zharul terhadap arwah Jija. Siapakah Qhalisya sebenarnya?

Promo: Influenza Cinta: Levis Delisya

Tragedi yang meragut seluruh ahli keluarganya meninggalkan Yasmin sebagai pewaris tunggal Hotel Eden Garden. Lalu bermulalah episod kembara mencari suami di mana Yasmin perlu memilih calon paling layak sebagai peneraju hati dan hotelnya. Kebetulan, calon terakhir iaitu Ezad Hakimi merupakan cinta pertama Yasmin. Namun bagi Ezad Hakimi, Yasmin sekadar bayangan silam yang ingin disingkir ke tepi. Sementara kisah Ezad Hakimi dan Yasmin penuh dengan sengketa dan misi dendam yang belum terlaksana, Zul Khuzaimey hadir dengan perisa cinta yang manis bergula. Siapa yang harus Yasmin pilih? Ezad Hakimi yang tawar tak berperisa atau Zul Khuzaimey yang pernah menyandang gelaran Mr. Kasanova?

Promo: Fiksyen 302: Ramlee Awang Murshid



LAN LANI, JIMMY YEOH, PRAKASH KUMAR dan FARID JA’AH membunuh mangsa-mangsa mereka dengan kejam. Masing-masing melakukannya dengan cara yang hampir serupa. Angka 302 dilakar di dahi mangsa. Sejurus itu, mereka menghubungi polis dan melaporkan bahawa hukuman mati telah dilaksanakan. Ketika diberkas, mereka menyerah diri dalam keadaan bertelanjang bulat. Bagaimanapun, motif sebenar setiap pembunuhan sangat kabur. Andai dipadankan dengan psikologi manusia, ternyata mereka yang mengaku bertanggungjawab bukanlah orang yang waras. Kes-kes itu tidak dapat diselesaikan.Tahun 2032 - seorang peguam, Rita Yuzalina menyertai projek rahsia yang dikendalikan oleh dua orang pakar psikiatri bertujuan untuk merungkaikan misteri pembunuhan itu. Namun, ia disabotaj. Pertukaran watak berlaku. Lebih menakutkan... tragedi lampau berulang lagi. Lebih dahsyat daripada apa yang dijangkakan!RAMLEE AWANG MURSHID dalam karyanya kali ini mengingatkan bahawa rasa percaya merupakan perangkap yang boleh mengancam nyawa. Apabila tersedar sahaja, maut sudah di hadapan mata. Melarikan diri adalah perkara mustahil. Menyerah begitu sahaja menyebabkan kematian yang sia-sia. Cara paling selamat... jangan sesekali percaya! Sesiapa pun tidak terkecuali daripada pertuduhan, prasangka dan dijadikan suspek utama pembunuhan.

Promo: Untuk Sekali Lagi: Azilah Wahab

Rashidah – Sekalipun dia datang dan pergi sesuka hatinya, namun aku pasrah. Walaupun aku cuba membina tembok kebencian padanya, namun kebencian itu bagai tiada di dalam diri ini. Sejauh mana dia pergi, aku masih tetap mahunya kembali. Aku ingin membina semula mahligai bahagia kami yang sudah goyah walaupun diri ini sakit akibat kekejaman yang dilakukannya. Dan lebih parah lagi… aku difitnah!Kamal – Kemewahan dan pangkat itulah yang menjadi tunjang untuk aku mencapai matlamat dan cita-cita. Kini, aku berjaya memperolehnya. Perlukah aku kembali ke rumah itu setelah melihat apa yang telah dilakukan olehnya? Adakah aku suami yang kejam? Tidak! Biarkan dia rasa. Sayang aku padanya sudah pudar!Syuhadah – Aku cinta padanya walaupun aku dituduh perampas! Tiada niat di hati ini untuk merenggut kebahagiaan orang lain. Aku hanya mahukan lelaki itu bersikap adil. Namun, aku tidak boleh terima dia menyakiti perasaan wanita itu kerana aku juga murah dengan air mata. Rashidah dan Syuhadah menjadi taruhan kasih sayang Kamal. Kedua-duanya saling memerlukan, namun ada sesuatu yang mengejar bayang-bayangnya. Dia tersungkur mencari kebahagiaan yang hilang!

Promo: Aku Piih Dia: Hezzy Azra

Pemergian Khalil tiga bulan sebelum diijabkabulkan, mengheret cinta Johana hingga ke pusara. Bertahun-tahun dia merawat duka di hati, namun pengganti Khalil tetap sukar dicari. Bila ada yang bertanya siapa Raif Imran di sisinya, jawapan yang diulang berkali-kali; lelaki itu cuma teman... tapi mesra. Raif pula tidak pernah meluah rasa kepada Johana. Baginya, walau didampingi ramai gadis sekalipun, Johana tetap ada ruang istimewa di hati. Johana sering menduduki senarai teratasnya biarpun tidak pernah mengisytiharkan gadis itu miliknya. Kemunculan Ian Redza mula mengubah segala-galanya. Kali pertama Raif menonton kemesraan Ian dan Johana, dia dijangkiti virus cemburu. Raif kata: Ian merampas Johana daripada aku! Ian balas: Aku tak mencuri hak sesiapa. Hati Johana berbisik: Hanya aku yang tahu... ada seorang sahaja yang aku cinta. Dalam pada ingin mencintai, tidak seharusnya ada yang akan terluka.

Promo:Biru Ungu Cintaku:Intan Arnida



Siti Julia Sophia benar-benar tertekan apabila ditinggalkan oleh suami yang amat dikasihi. Tiba-tiba saja Faeris Syakim menghilangkan diri tanpa sebarang pesan dan khabar berita. Jiwa Julia bertambah sengsara apabila dibelenggu ketakutan. Berulang kali dia diugut dan terus diburu lelaki misteri sehingga nyawanya terancam.Kepada kakaknya, Siti Jesnita Shania dia mengadu untuk merungkai segala kekalutan yang dialami. Tapi tanpa diduga, kakaknya itu punya rancangan yang strategik. Tanpa berbincang, dia mengheret Dr. Qairul Arif ke dalam permainan barunya. Dia mahu lihat siapa yang bijak dan siapa yang dungu!Maruah Syakim semakin tercabar. Dia yang selama ini memendam rasa cemburu dan syak wasangka terhadap Julia terus bertekad untuk menyingkap segala kecurangan Julia dengan menyamar sebagai Prince William di dalam Facebook, bertujuan untuk menggoda isterinya sendiri. Namun, tindakannya telah menjerat dirinya. Julia yang tidak tahu apa-apa pula menjadi mangsa keadaan. Haruskah dia berjumpa dan berterus terang kepada isterinya?