Promo: Kata Tak Rindu: Siti Nur Dhuha





Kerana kecewa kekasih hati ber­kahwin dengan gadis lain, Zafia mendaftar diri di Agensi Mencari Jodoh. Niat hatinya hanya satu, ingin membalas dendam terhadap bekas ke­kasihnya, Shahril. Tanpa berfikir panjang, Zafia terus menandatangani surat per­janjian tanpa berjumpa ter­lebih dahulu dengan bakal suami.
Setelah berjumpa Aezwan, lelaki yang dikenali melalui Agensi Mencari Jodoh, Zafia mula berubah fikiran. Tidak mahu meneruskan perkahwinan. Namun Zafia tidak dapat mengelak dari berkahwin dengan Aezwan kerana telah terikat dengan perjanjian yang telah ditandatanganinya.
Perkahwinan berlangsung juga. Zafia dan Aezwan terpaksa menjalani hidup berumah tangga. Tiada keserasian, membuatkan mereka berdua sering bergaduh. Suaminya terlalu berdisiplin, pagi-pagi lagi sudah bangun dan mengemas rumah. Sedangkan Zafia matahari terpacak di ubun-ubun, masih terbongkang tidur.
Bekas kekasihnya, Shahril mula mengganggu rumah tangga Zafia. Dia tidak serasi dengan pasangan hidupnya. Bila Aezwan dapat tahu, dia mula berasa cemburu kerana telah timbul bibit-bibit cinta dalam hatinya. Aezwan berjumpa Shahril tanpa pengetahuan Zafia. Berlaku satu insiden yang tidak diingini. Apakah insiden itu? Kekal ke rumah tangga Zafia atau dia balik semula pada Shahril? Bagaimana pula dengan Aezwan? Mana satu pilihan Zafia?

“Fia tak berzina, Fia sudah berkahwin, Aril!!!”
– ZAFIA

“Hari ini abang bahagia sangat sebab apa yang abang nak, abang dapat. Fia dah jadi milik abang.”
 

Promo: Cinta Bersaiz XXL: Aliesha Kirana

“Awak dah nampak saya depan mata awak, kan? Saya tak kisah kalau awak nak tarik diri daripada pertunangan ini sekarang. Saya terima segala keputusan awak.”

“Percayalah kepada jodoh yang ditetapkan oleh Allah ini ya, Deeba. Saya terima Deeba ikhlas kerana Allah.”

Nur Adeeba Addin - Rombongan merisik yang hadir membuatkan dia terpana. Tak betul agaknya lelaki yang datang merisiknya itu.Gara-gara saiz badannya yang comel, dia seringkali diejek gendut, debab, anak gajah, badak, tong dram, Doraemon, guni beras dan macam-macam lagi gelaran. Jadi mana mungkin lelaki sempurna seperti itu yang bakal dimilikinya?

Hadif Harith - Hatinya ikhlas memberi, kasihnya tulus menyinar meskipun sentiasa diragui. Ketampanannya digilai ramai namun cintanya utuh buat pemilik tubuh XXL.

Sehinggalah akad dilafazkan… Adeeba akur dengan landasan cinta itu.

“Deeba tau kan, abang tak suka Deeba rendahkan diri Deeba. Orang lain tak nampak apa yang abang nampak pada diri Deeba.”

“Nampak apa? Nampak lemak dekat badan Deeba ni?”

Hadir pula Qaisara, sepupu Hadif yang tak henti-henti menagih cinta.

Munirah, sahabatnya sendiri yang jatuh suka, dan juga gosip Hadif dengan Cik Irma yang melanda, membuatkan hati Adeeba kian curiga.

Benarkah masih ada ruang untuknya dicintai dan mencintai? Dan tak mampukah cinta seorang bersaiz XXL sepertinya menjadi realiti?

Promo: Lelaki Eksklusif: Wan Awliya Rayqal

NORA hanya gadis biasa-biasa saja. Tak serupa perempuan langsung. Tapi di mata Wan Mukriz, Nora sangat istimewa. Jadi tak salah dia serahkan hati dan perasaan buat gadis comel itu. Namun sangka Nora, Wan Mukriz sekadar bergurau. Apalah yang diharap pada gadis sepertinya. Jadi Nora buat bodoh saja.

“Kalau saya cari girlfriend, saya cari macam Nora.”

“Uiks, kalau macam tu ambik Nora saja tak boleh?”

“Serius?”

“Ngee, melampau bos ni.”

“Nora, saya serius ni.”

“Ya ke?”

Kemesraan yang terjalin, menjadi halangan apabila Wan Ariff , abang sebapa Wan Mukriz juga menaruh hati terhadap Nora. Mahu memiliki Nora tanpa mempedulikan perasaan Wan Mukriz.

Akhirnya, Wan Mukriz ambil keputusan untuk menikahi Nora tanpa pengetahuan sesiapa. Dan Nora terima lamaran Wan Mukriz demi menyelesaikan masalah peribadinya.

Mereka bahagia, namun bahagia mereka bersulam resah. Wan Ariff tak sudah datang mengganggu tanpa disedari yang menjadi idamannya itu ialah adik ipar sendiri.

Mampukah mahligai bahagia yang dibina dalam rahsia itu bertahan sedangkan Wan Mukriz tidak sanggup untuk berpisah dengan Nora?

Promo: Biarkan YM terus berbicara: Hanni Ramsul

Sinopsis:-
Biarkan YM Terus Bicara, menyingkap kisah perkahwinan Tiya dan Encik Firdaus. Walaupun pasangan ini saling mencintai namun tetap ada perkara yang tanpa sedar telah menimbulkan konflik dalam perhubungan mereka.

Melihat hubungan akrab di antara Encik Firdaus dan teman baik suaminya itu, Mia, hati Tiya yang tidak pernah suram dengan rasa cemburu, terus sahaja menyimpan wasangka. Rasa tidak senang hati yang sering diungkap kepada suaminya, menimbulkan rasa kurang senang di pihak sang suami. Berasa dirinya sentiasa dicurigai, Encik Firdaus menasihati Tiya agar belajar untuk terus mempercayai. Demi menjaga ikatan perkahwinan mereka, Tiya mencuba sedaya upaya untuk sembunyikan semua rasa kurang senang serta rasa cemburunya.

Keadaan tambah memburuk apabila ibu Mia, Puan Sri Ainun muncul menjadi batu api yang meniup kekacauan dalam rumah tangga Tiya. Lantaran tidak mahu melihat anak gadisnya terus bersedih, dia nekad cuba memisahkan Tiya dan Encik Firdaus kerana hatinya yakin, Mia sedih dengan perkahwinan Encik Firdaus. Ditambah pula dengan kemesraan serta perhatian luar biasa Encik Firdaus kepada Mia, Tiya semakin makan hati. Setelah segala usahanya untuk cuba memenangi hati Encik Firdaus seakan gagal dan, Encik Firdaus pula mula menyalahkannya atas satu kejadian yang dalangnya ialah Puan Sri Ainun, Tiya nekad untuk berundur.

Salah faham terhurai apabila pemergian Tiya mula membuka mata Encik Firdaus untuk mencari punca konflik. Semuanya ternyata cuma kebetulan. Hasutan ibu Mia dan alahan yang dialami oleh Encik Firdaus datang serentak ternyata hampir memisahkan mereka. Menyedari Encik Firdaus masih mencintainya sepenuh hati dan Mia masih berharap kepada Abang Kamal yang masih melayan perasaan kecewa, Tiya bangkit untuk melakukan sesuatu. Hubungan Mia dan Abang Kamal cuba diwujudkan dengan pertolongan mak long, ibu Abang Kamal juga bantuan daripada Mia sendiri. Bermulalah rancangan demi rancangan yang diatur juga kisah Encik Firdaus sendiri yang disahkan mengalami Couvade Syndrome atau sympathetic pregnancy sepanjang Tiya mengandungkan anak sulung mereka.

“Berjuta langkah kita atur bersama... tidak akan pernah penat selagi jemariku erat di genggamanmu... tidak akan pernah lelah selagi janjimu... cinta ini hanya milik kita berdua.”

Promo: Playboy itu suami aku: suri ryana

Sinopsis:-
“Kurang asam betul! Dahlah simbah aku dengan air lopak, tak mintak maaf langsung! Blah macam tu aje”

Itulah permulaan segala-galanya. Kehidupan Afina tidak pernah aman semenjak mengenali playboy itu. Seorang playboy yang kerap kali membuatkan dia panas hati. Raja Adrian Benjamin atau nama ‘manja’ yang diberikan oleh Afina, King of Crocodile memang menguji tahap kesabaran seorang gadis nerd yang tidak mempunyai penampilan menarik seperti Afina.

Pertemuan Afina dengan Puan Sri Zahida, ibu kepada Raja Adrian semasa menolong rakannya menggubah bunga di majlis hari jadi cucu Puan Sri benar-benar melontarkan gadis ini ke lembah yang lebih mencabar. Sikap Puan Sri yang nekad untuk bermenantukannya membuatkan gadis itu buntu. Tambahan pula dia sedar yang adik kembarnya, Afisya adalah salah seorang teman wanita Raja Adrian Benjamin.

Afina dan Adrian, mulanya membantah dan menolak habis-habisan untuk disatukan. Akhirnya mereka bersetuju kerana masing-masing punya agenda tersendiri.

Afina terlibat dalam kemalangan dan tersedar dari koma sebagai penghidap amnesia. Lebih malang lagi apabila dia tidak langsung mengenali Adrian, suaminya sendiri. Terkejut besar gadis itu apabila mengetahui yang dia sudah berkahwin! Dengan seorang playboy pulak tu!

Bagi Adrian, Afina sekarang berbeza dengan Afina yang dulu. Afina telah berubah menjadi seorang yang lebih kasar dan tidak lagi mudah untuk dibuli seperti dahulu. Mereka kerap kali bertegang urat dan saling membuli hingga memutikkan bunga-bunga cinta di taman hati masing-masing.

Tapi, di saat mereka asyik menyulam cinta, Afina harus meninggalkan lelaki itu dan pergi jauh dari hidup Adrian. Apakah yang memaksa gadis itu meninggalkan lelaki yang dicintainya separuh mati itu? Adrian pula, setelah ditinggalkan buat kali kedua dalam hidupnya, dapatkah dia memaafkan wanita yang dicintainya?

“Playboy itu suami aku?! Biar betul!”

Promo: Giler Kau?: Dyadila

Kehidupan sebagai anak yatim piatu menuntut Intan Azura Abdullah Lee belajar mempertahankan diri dari ancaman orang lain. Dalam sikap yang selalu berhati-hati, dia selalu cuai. Mujur ada Maya Kirana teman merangkap sahabat yang tak punya pertalian darah tapi hubungan mereka lebih daripada adik-beradik.

Intan selalu menghabiskan masanya di Yayasan Kasih, tempat dia dibesarkan. Di situ juga dia mendapat keluarga yang besar dengan kasih dan cinta penghuni yayasan kasih.


Pertemuan dalam adegan tak sengaja dengan Syed Shahrul Iskandar mencetuskan terlalu banyak accident dalam hidupnya. Setiap kali jumpa, setiap kali itu juga mereka akan bergaduh. Macam anjing dengan kucing. Nak dijadikan cerita, mamat bengis@Poyo tu adalah jirannya. Semakin sengitlah perang di antara mereka berdua.

Kemunculan Lokman Hakeem membuatkan Intan rasa dia disayangi. Bertambah bahagia bila lelaki itu menghulurkan kata cinta sehingga membawa kepada perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

Di saat ingin melakar bahagia, Lokman Hakeem menghilangkan diri di hari pernikahan mereka. Pengantin lelaki bertukar tempat. Syed Shahrul Iskandar sanggup menjadi suaminya dan berjanji melindunginya.

Dalam ikatan suami isteri yang didasari atas rasa tanggungjawab membuatkan Intan dan Shah berdepan dengan dugaan dan kisah lucu dalam rumah tangga mereka. Namun, kebahagiaan yang baru berputik terganggu
dengan kemunculan semula Lokman Hakeem yang menagih cinta Intan dan Zaireen Amalina yang sememangnya
menggilai Shahrul sejak dulu.

Pergolakan yang akan membongkar satu rahsia. Rahsia antara Shahrul dan Intan. Apa akhirnya hubungan
Shahrul dan Intan? Semuanya terjawab dalam Giler Kau?
 


 

Promo: Kopi Ladyku: Ainul Hazrah

Sinopsis: Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal di rumah setinggan. Dia punya cita-cita tinggi untuk mengubah kehidupan keluarga, namun demi adik-adik dia terpaksa melupakan niat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Baidura dan adiknya, Izhar telah menawarkan pekerjaan sebagai kopi ‘lady’ di pejabat mereka kepada Arisa dan membawa gadis itu tinggal bersama mereka. Sebagai anak kampung yang polos dan lurus, semuanya begitu asing buat Arisa. Banyak suka duka yang berlaku di dalam era baru kehidupannya.

Akhirnya, kehadiran Arisa di dalam keluarga itu menjadi buah mulut saudara-mara. Demi menutup mulut tempayan yang sentiasa terbuka itu, Izhar telah bersetuju untuk mengahwini Arisa. Arisa pula bersetuju untuk berkahwin dengan Izhar kerana Izhar telah berjanji untuk membiayai pelajarannya ke menara gading.

Walaupun bukan kerana orang ketiga, pasangan yang baru mengenal bahagia itu dilanda badai juga. Kapal mereka terumbang-ambing di lautan tanpa haluan. Mereka ingin mencari arah, tapi seakan tenggelam punca. Kini, mereka hanya mampu bertahan selagi terdaya.

“Betul Iz nak kahwin dengan Icha? Dia tu bukan betul sangat, rempang-rempang bahasa. Wayar berselirat, tak putus saja lagi.” - Muiz -

“Wayar dia cuma berselirat, belum putus lagi. Bila dah kahwin nanti, saya akan susun balik wayar tu elok-elok dan takkan biarkan dia putus, Insya-ALLAH!” - Adib Izhar

Promo: Dia Hanya Untukku: Rozita Abd Wahab



 Sinopsis: Hidup Alissa sungguh terseksa. Sudahlah dibenci dan dihina ibu kandung sendiri, dia pula tertangkap basah dengan majikannya sendiri, Syed Hadif. Akibat peristiwa hitam itu, mereka dinikahkan atas restu ayah Alissa sendiri. Saat disahkan sebagai isteri, hatinya remuk-redam. Antara pasrah dan tidak, dia harus melupakan Ilham, kekasih hati yang sudah mengikat janji untuk membina mahligai cinta.

Perkahwinan itu semakin menyeksa batin Alissa. Hubungan halal itu harus dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga dan isteri pertama Syed Hadif. Sampai bila rahsia harus disimpan sedangkan Syed Akil, adik suaminya sering mendambakan rindu dan kasih sayang daripadanya? Namun dia perlu akur. Dia sudah bersuami dan wajib membahagiakan suaminya.

Menjadi isteri kepada Syed Hadif bukan bermakna penderitaan tamat begitu sahaja. Malang menimpa diri, Syed Hadif pergi buat selama-lamanya akibat kemalangan jalan raya yang telah dirancang seseorang.

Ya ALLAH… ke mana lagi Alissa mahu membawa diri? Haruskah dia kembali kepada Ilham? Perlukah dia mencurahkan kasih kepada Syed Akil? Kedua-duanya pernah dikecewakannya. Siapa sebenarnya yang mampu merawat duka laranya?

Promo: Cinta Hujan Panas: Emma Maizura

 
 
Sinopsis: MIA ZARA, bukanlah model popular. Dia datang ke Kuala Lumpur untuk temu duga kerja setelah dipaksa keluarga angkatnya. Sebelum sempat ditemu duga, dia terpaksa menjadi isteri kepada lelaki yang dia benci demi maruah dirinya yang tercalar.

“Awak ingat kita suka sangat dengan perkahwinan ini? Kita buat ni demi maruah diri kita. Kalau apa-apa terjadi selepas peristiwa malam itu, nasib kita terjamin. Masyarakat tak pandang serong pada kita!”

Munif, cucu hartawan terkenal. Seorang yang kacak dan sukakan perempuan cantik dan seksi. Belum sempat menikmati zaman bujangnya, dia dipaksa berkahwin. Perkahwinan itu adalah satu kesilapan besar bagi dirinya. Bagaimana dia boleh terjebak dalam perangkap gadis itu? Dia yakin apa yang berlaku adalah muslihat gadis itu untuk menjerat dirinya. Untuk membalas dendam pada gadis itu, dia melancarkan ‘perang.’
 
“Kau jangan ingat senang-senang aku nak lepaskan kau! Kau jangan nak berlagak jadi puan besar pula! Kau mesti buat kerja dalam rumah ni. Mulai esok, kau mesti sediakan segala keperluan aku!”

Inilah kisah Mia Zara dan Munif. Rumah tangga yang dibina bagaikan kapal karam sebelum belayar. Namun, jodoh itu rahsia ALLAH, tiada siapa tahu apa akan terjadi
 

Promo: Pelangi Cinta Buat Suami: Acik Lana

Kata orang cinta itu mampu hadir dari pelbagai rupa, segi dan cara. Kadangkala datangnya langsung tidak mampu diramal oleh jiwa, begitu saja. Imanina : Kerana sebuah diari, perasaan cinta di hati wujud serta merta. Dia terpesona, kagum dan terpukau dengan kata-kata indah itu kerana menyedari betapa beruntungnya menjadi wanita yang dikasihi seorang suami dengan sepenuh hati. Tengku Qalif : Cintanya kepada Liyana umpama langit yang tidak bersempadan, umpama udara yang memenuhi bumi, dan sebuah kehilangan membuatkan separuh nyawanya mati. Kerana cintanya satu, mustahil untuk dia memberi rasa serupa kepada yang kedua. Menyedari keadaan Tengku Qalif yang bagaikan 'mayat bernyawa' Imanina tekad mahu membahagiakan lelaki bergelar duda itu. Namun Tengku Qalif berterusan menolak dan menepis setiap bantuan darinya. Dan ketika Imanina melamar Tengku Qalif dengan sebuah perkahwinan, perasaan benci di hati kian memuncak. Semakin jauh mengelak, semakin dekat Imanina menghampiri. Dan kerana sebuah cabaran, akhirnya Tengku Qalif terpaksa bersetuju untuk menikahi Imanina. Perkahwinan yang awalnya dialas dengan kebencian perlahan-lahan berubah menjadi perkahwinan kedua yang terlalu bermakna untuknya. Ketika bahagia merantai hubungan mereka, ada malang datang bertandang. Perpisahan tidak terduga meletakkan Imanina di tempat Tengku Qalif seperti suatu masa dahulu. Sama tidak berbeza. Namun kemunculan seorang lelaki di pertengahan jalan sengsara membuatkan hati Imanina terbelah dua. Perlukah dia kekal setia dengan sumpah janjinya kepada orang yang telah tiada? Dan ketika tangan bersedia untuk menyambut huluran cinta yang lain, ada sesuatu merentap semula tangannya. Dugaan masih mendatang dan mungkinkah selepas ribut, taufan dan hujan, pelangi itu masih kekal setia di langit? “Percayalah kasih… kesetiaan ini, Kesetiaan yang tak kau duga.”